Wednesday, January 25, 2012

Perjalanan dengan kereta api

Kereta api laju landasan berkembar akan tiba tidak berapa lama lagi dari Selatan ke Utara dan seterusnya ke Thailand dan entah kemana lagi. Disana-sini sekarang ini kelihatan jejambat yang cukup gah untuk membolehkan Sang Keretapi lalu.  Memang hebat! Keretapi pun kepala 'aero dynamic' dan kelajuan mungkin mencecah melebihi 200 km sejam.  Itu sekarang.  Tapi kalau ingat zaman dulu-dulu, zaman saya dan ramai lagi kawan-kawan berulang-alik dari kampung ke sekolah setiap penggal...aduh..Ketekuk ketekak, ketekuk ketekak,,,kadang-kadang sehari semalam baru nak sampai ke Seremban....Masa kat Tanjung Malim tu dekatlah sikit.  Bila sampai lubang hidung berjelaga macam ponggong periuk nasi pakai dapur kayu..ha..ha..Masa nak balik kampung katanya ada 'reserved coach' tapi rupa-rupanya orang dah masuk.  Semua kena jadi 'Stunt Man' masuk ikut tingkap.

Apa pun perjalanan dengan kereta api Kelas 3 ni amat seronok dan penuh kenangan nostalgia.  Dalam celah tu pulak bila keretapi (train) sampai dari Johor Baharu untuk ke utara, wah jumpa lah dengan 'marka' dari dekat Selat Teberau sana.  Masa nak melintas coach dia orang panik juga.  Kadang-kadang nak buka grill pintu tak boleh dek kerana darah gemuruh, rasa macam orang tengah memerhatikan kita.  Perasan lah konon!  Masa tu pakai kasut tinggi sampai lutut, Kasut 'Johnson' rasa hebat sangat lah apatah lagi dengan jeans Amco pulak...Maklumlah duit 'pocket money' atau biasiswa lah senang sikit...Sampai kat Bukit Mertajam tak ketinggalan pi kedai buku mamak tengok apa yang patut..Ada buku senikata lagu hindustan..best..

Bagi geng rockers tak mainlah lagu hindustan,,depa ni layan piring hitam/keset Bad  Company, Led Zeppelin, Black Sabbath, Uriah Heep dan banyak lagi lah...Apa lagi heretlah gitar tong ke hulu ke hilir.  Tapi depa memang boleh main..Selalunya bila penutup tahun atau penggal persekolahan ada stage show.  Haa..masa tu boleh tengok depa tunjuk depa punya kehebatan sampai main gitar dengan gigi..tambah-tambah lagi ada awek-awek sekolah Tunku Durah sebelah atau budak 'Ketekek' datang satu bas.

Cukup lah dah mengantuk dah ni  ..itu secebis kenangan Tok Abah masa dolu-dolu zaman persekolahan iaitu zaman kereta api tak ada air-cond dan bawa keluar asap hitam,  Zaman hampa la ni dah  jauh berubah...

Saturday, November 26, 2011

Selamat Tahun Baharu Hijrah 1433

Tahun Baharu Hijrah datang lagi tanpa perlu diundang.  Alhamdulillah kita sama-sama melangkah ke tahun baharu ini tapi ada juga sanak saudara, rakan taulan apatah lagi yang kita tak kenal, yang telah lebih dahulu dipanggil pulang kerahmatullah.  Entah bila kita pula akan diperintah pulang kita tak tahu.  Jadi apa yang perlu kita buat ialah menyiapkan diri kita untuk hari yang tak tentu itu, tul tak?  Eh..tapi azam tahun baharu ni selalunya hangat-hangat tahi ayam aja kan! Macam embun pagi datang mentari hilanglah dia...Apa pun ada azam lebih baik daripada tak ada azam langsung. Sekurang-kurangnya ada niat dan keinginan nak buat sesuatu kebaikan.  Kalau tak boleh berubah banyak kita berubah sikit-sikit dulu, amacam?  Takkan tak boleh kut..Kita pakat-pakat pikir tentang apa yang perlu kita 'bawa' bersama daripada terlalu asyik pulun cari sesuatu yang kita nak tinggalkan.  Kalau kita tinggal pun kena tinggalkan juga sesuatu yang boleh memberi keuntungan kepada kita serta keluarga kita di 'sana' nanti. Orang kata apa?..Aaa Saham Akhirat lah tu.  Semoga Tahun Baharu Hijrah ini membawa rahmat dan membawa berkat.  InsyaAllah.

Friday, June 24, 2011

Friday, December 24, 2010

SELAMAT TAHUN BARU MASEHI 2011

Kita kini berada dalam Tahun Baru Hijrah 1432 dan beberapa hari lagi akan muncul pula Tahun Baru Masehi 2011.  Semoga penghijrahan kita akan berterusan pada tahun baru masehi ini.  Dari yang baik kepada yang lebih baik.  Untuk berubah kita perlu beriltizam dan kekuatan minda.  Hari berganti hari, segalanya beredar.  Lalu kita juga wajar berganjak dari tapak yang lama ke tempat baru yang lebih mencabar.  Lebih besar risiko yang kita tempuh maka lebih besarlah ganjaran yang akan kita kecapi.  Ayuh kita bergerak ke hadapan dengan memberi fokus kepada peluang-peluang yang masih terbuka bukan kepada rintangan-rintangan yang belum mengapa-apakan kita. SELAMAT TAHUN BARU 2011 - HAPPY NEW YEAR 2011, MANY HAPPY RETURNS.

Wednesday, September 29, 2010

BINTANG P.RAMLEE ZON UTARA 2010

Akhirnya teka-teki tentang siapa yang akan mewakili Zon Utara ke Pertandingan Bintang P.Ramlee Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak hujung tahun ini telah terjawab bila Pertandingan Akhir Bintang P.Ramlee Peringkat Zon Utara berlangsung dengan meriahnya di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul RIdzuan, Ipoh baru lalu (25 Sept 2010).  Peserta Perak AZFARDON ZULKAMAL AZMI muncul Juara melalui lagu ADUH SAYANG.  Beliau kemudian berduet dengan NAZATUL FARAHIN MD HUSSEIN dalam lagu DALAM AIR KU TERBAYANG WAJAH.  Tempat kedua disandang oleh peserta Langkawi Sairudin Norazam Saidin dan pasangannya Norhilaili Noh Hassan.  Tempat ketiga jatuh kepada peserta Pulau Pinang Faizal Mohd Hassan dan Syaifaana Mohamad Subri.  Peserta Kedah Salimi Awang dan Naziatul Azwa Azzahan juga peserta dari Perlis Sharnizam Azzahan dan pasangannya Harmira Mohd Yusof terpaksa berpuas hati dengan hadiah sagu hati...Jadi peserta-peserta Zon lain jaga-jagalah sikit kerana Zon Utara tidak akan memberi laluan mudah kali ini..Silap-silap P.Ramlee balik ke utara tahun ini!!!